Seusai mandi selepas Isya’ tadi, terasa ingin melelapkan mata buat seketika merembeskan segala kepenatan dalam kelenaan. Kerja yang bertimbun di pejabat, ditambah dengan pembentangan kertas kerja kajian saya yang terbaru adalah suatu perkara yang cukup memenatkan.
Sebelum tidur, menjadi rutin untuk mencapai satu buku menambahkan kefahaman supaya ilmu itu sentiasa bertambah setiap hari. Tapi, entah kenapa malam ini, tergerak hati untuk membaca novel karangan Pak Hamka, Tenggelamnya Kapal Van de Vijck. Sudah lama tidak menjamah novel-novel sebegini semenjak hati menjadi tawar.
Mata yang kuyu tidak mampu tertutup sendiri ketika membaca novel itu. Penyusunan plot ceritanya hampir menyamai penulisan diari peribadi saya. Sebentar saya tersinggung. Agak lama saya termenung hingga Adik bongsu saya menghantar mesej.
“Abg, jgn lupa dtg pertunangan adk mnggu dpn.”
Saya hanya tersenyum. Termasuk si bongsu ini, ketiga-tiga adik perempuan saya akan mendirikan rumah tangga. Sering juga mereka mengusik saya. Kata mereka, saya Bujang Terlajak. Pedulikan mereka. Saya punya cita-cita.
Malam itu, tanpa sedar saya tertidur dengan buku menutup muka saya.
……………………………………………………………………………………………………………………………………………………..
Hari ini, saya akan berforum tentang satu tajuk yang menjadi kajian saya iaitu Sejarah : Formula Peradaban. Saya mengandaikan secara teorikal bahawa terdapatnya simultaneous yang jelas antara peristiwa masa lampau dan masa kini terutama berkaitan pembinaan tamadun, kecemerlangan, transformasi dan revolusi. Inilah kali pertama saya harus berforum dengan gaya tidak terlalu akademik kerana pendengarnya terdiri daripada seluruh lapisan masyarakat. Saya sangat-sangat berdebar. Beberapa kali saya memperhalusi kembali apa yang harus saya utarakan di samping bersedia dengan kemungkinan soalan-soalan yang akan ditanya.
Ketika di atas pentas, sedang saya berforum, saya terpandang susuk tubuh yang cukup saya kenal. Dia! Dia bersama-sama suaminya berada di tempat penonton. Emosi saya tiba-tiba berkecamuk. Hati saya terasa sangat pedih. Hampir-hampir saya hilang fokus untuk menjawab soalan daripada pengerusi forum. Dengan perlahan, saya menanggalkan kaca mata, supaya saya tidak dapat melihat dia. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar.
Selesai forum, saya segera pulang, agar tidak bertembung dengan dia dan suaminya. Walaupun kami berpisah hampir lima tahun kerana perkahwinannya, tetapi saya sendiri keliru. Apakah saya mencintai dia atau membenci dia?
……………………………………………………………………………………………………………………………………………………..
Sewaktu membelek album gambar zaman sekolah, saya melihat gambar tiga orang perempuan. Mereka inilah yang pernah menjadi couple saya dahulu. Entah kenapa tiba-tiba saya rasa bersalah. Mempersendakan dan menghiris hati orang lain. Ain, wanita pertama yang menjadi couple saya. Tetapi, akhirnya, saya tinggalkan dia kerana berjumpa dengan Sarah. Tetapi, sewaktu bercouple dengan Sarah, saya mengenali Maria. Di situlah, saya mula terjebak dalam cinta tiga segi sewaktu zaman persekolahan. Playboy! Seorang pelajar pendiam menjadi playboy! Akhirnya, saya tinggalkan mereka tanpa bertali. Mereka mungkin menaruh harapan serius pada waktu itu, tetapi, saya sekadar untuk bersuka ria. Dada saya berombak. Bagaimanakah keadaan mereka? Saya terputus hubungan dengan mereka sekian lama. Rasa bersalah terus menghantui. Apakah saya akan dapat menebus kesalahan saya dengan mereka? Sudah lama saya mencari mereka untuk meminta maaf. Saya takut untuk tergantung masalah dengan manusia.
Saya terus membelek album-album lain. Gambar dia juga ada. Terbit rasa sakit hati yang melampau. Kalaulah bukan kerana iman, mungkin fikiran akan bertindak tidak waras. Agaknya, inilah yang dirasai oleh tiga orang wanita yang pernah saya lukai. Benarlah Tuhan itu maha adil. Saya mula sedar, setiap kali saya lukakan hati orang lain, setiap kali itulah juga, hati saya akan terluka. Saya ingin melupakan sejarah. Tetapi, susah untuk saya memaafkan sejarah. Saya ambil gambar itu, dan bakar di dalam tong sampah. Biarlah gambaran tentang dia tiada dalam hidup saya. Maafkan saya, Sya.

