Terima kasih untuk ukhuwah kalian..

Ahad, 27 Mac 2011

Luahan Si Bisu Tuli...

Subhanallah; Maha suci Allah…


Betapa indah Kau ciptakan dunia ini, Kau jelmakan bentuk dan kecantikannya dalam keadaan dapat kulihat dan rasa. Melihat dengan mata, merasa dengan tangan.

Alhamdulillah; Segala puji bagi Allah…


Nikmat itu kusyukuri, nikmat mata dan tangan. Dua nikmat itu sahaja sudah tiada tandingan. Sekurang-kurangnya, aku boleh menulis perkataan-perkataan yang menzahirkan rasa syukurku! Menaip dan membaca semula taipanku; supaya menjadi peringatan buat diriku.

Allahuakbar; Allah maha Besar…


Bukan ini yang aku pinta, tapi, ini adalah pemberian. Pemberian dari Tuhan; Allah maha Kuasa. Bukan aku meminta menjadi bisu, tidak pula kupinta menjadi tuli. Ini semua kuasa Tuhan. Dan kerana kuasa Tuhan jugalah, hijab itu terbuka. Hijab yang tidak dibuka kepada kebanyakan manusia umumnya – hijab dunia yang berselubung dengan keghaiban dan makhluk-makhluk yang menjengkelkan.


Pernah : Aku ingin menjerit kerana ketakutan, melihat makhluk-makhluk yang hodoh dan menjijikkan sedang merata-rata; perbuatan mereka berbagai – ada yang kencing berdiri, bercangkung antara pasangan kekasih yang sedang bersenda-gurau, bertepuk-tampar, sambil makhluk itu menggosok-gosok kepala mereka, tetapi jeritan aku tidak diendah. Aku seorang bisu. Suara yang keluar hanya desis-desis angin, atau hanya tutur-tutur yang tidak difahami.


Dianggap cacat dan dianggap gila….


Cacat aku ini hakikat bagi manusia normal yang memandang; bisu dan tuli. Manakala aku yang memandang mereka pula, melihat mereka lebih cacat daripada aku. Mereka tempang dengan keangkuhan dan kebongkakan mereka. Mereka kudung dengan tangan-tangan yang merampas hak-hak orang lain. Mereka, lidah mereka pula, saban hari kulihat seperti ada bayangan yang jelas menggambarkan, mereka menggunting-gunting lidah itu bahana mulut yang memfitnah, bahana berkata dusta! Tapi mereka tidak sedar! Apatah lagi telinga mereka yang mereka guna; guna untuk mendengar, mendengar palsu dan bohong; ditusuk dengan besi panas yang berbara!


Aku tidak rela… Aku kasihankan mereka… Apabila aku bercerita, ceritaku pada tulisanku. Sangka mereka aku gila. Sedangkan mereka lebih gila! Aku gila kerana aku kasihankan mereka yang gila yang tidak sedar bahawa mereka gila… Gilaku melihat jengkelnya makhluk-makhluk jijik bersama-sama mereka, bergelak ketawa sesama mereka, sedang mereka tidak sedar! Gilakah aku yang melihat?


Aku, dengan mataku yang memerhati, dan tanganku yang menulis; inilah usahaku untuk agamaku. Aku, tidak mampu berpidato selantang Umar! Tidak mampu aku berpidato setegas Abu Bakar! Tidak! Aku tidak mampu! Kerana aku, si bisu dan tuli! Itu kata mereka! Namun, cintaku pada Nabi buatku ingin berbuat sesuatu. Kerana aku tidak mahu, tentera-tentera ababil Tuhan pada paruhnya ada sijjin datang kembali… Menyerang tentera Abrahah yang sedang bersembunyi dalam diri semua yang tidak menyedari… Umat Islam sendiri sedang merancang menyerang Kaabah!

0 ulasan: