Terima kasih untuk ukhuwah kalian..

Sabtu, 5 Februari 2011

Hobi Arwah Abang

Arwah abang sikapnya tenang. Kegemarannya mengusung joran setiap petang, dan memancing ikan. Itulah hobinya. Hobi yang kadang-kadang membuatkan orang sekelilingnya bertanya,



"Abang tidak bosankah memancing ikan? Menunggu ikan meragut umpan?" Orang sekeliling yang bertanya itu; salah seorangnya adalah aku. Abang memandang muka aku waktu itu demi mendengarkan soalan itu, dan dia tersenyum. Riak mukanya mempamerkan kegembiraan di sebalik kegemarannya itu, dan aku - masih seorang budak waktu itu masih gagal memahami senyumannya itu.



Tidak memadai dengan hobinya itu, dia gemar membaca buku, ke mana sahaja dia pergi, buku mesti diusung di tangan, sama seperti joran kesayangannya yang selalu diusung. Buku yang dibacanya, kalau dihitung terlalu banyak, banyak sehinggakan aku sendiri bingung bagaimana dia boleh membaca buku-buku yang banyak. Pada waktu itu, usiaku, pada waktu melihatnya rajin membaca, baru mencecah sepuluh tahun dan dia pula sudah enam belas tahun, enam tahun perbezaan umur kami, hanya enam tahun, tapi, aku lihat kematangannya:- cara cakapnya, cara geraknya, mungkin terkesan dengan buku yang dibacanya.



Tidak berhenti di situ, arwah abang selalu mengheret aku ke mana sahaja ia pergi, kalau-kalau waktu itu dia tidak bersama kawan-kawan atau aktiviti di sekolahnya. Kami rapat, terlalu rapat, kerana hanya kami berdua dalam keluarga, dilahirkan oleh ibu kami, aku dan abang. Hanya kami dua beradik sahaja yang dilahirkan di dunia dan dipanjangkan nafas untuk bernyawa pada waktu itu, sedang yang lain, dua yang lain, seorangnya lemas dalam kandungan, seorang lagi meninggal sewaktu bayi akibat demam kuning.



Arwah abang, dia suka bercerita, bicaranya hikmah, kadang-kadang dia suka berpesan, sedang telinga aku pula sentiasa menadah. Kata abang,



"Burung ada sayap, dan burung boleh terbang. Seronok tak jadi burung yang tak pandai terbang?" Arwah abang bertanya.



Aku menggeleng.



"Manusia ada akal, dan manusia boleh berfikir. Seronok tak jadi manusia yang tak pandai berfikir?" Arwah abang bertanya lagi.



Aku seperti perbuatan yang sebelumnya, hanya menggeleng. Aku faham kata-kata abang. Aku faham walaupun waktu itu, aku hanya berusia sepuluh tahun. Sepuluh tahun itu tidak kebudak-budakan kalau bicaranya bersama orang dewasa. Dididik dalam sekitar suasana penuh kematangan. Suasana yang membentuk pemikiran. Dan itulah yang arwah abang ajarkan pada aku.



Aku perasan, semakin aku meningkat usia, aku melihat peningkatan usia abang juga. Pada waktu aku di tingkatan dua, abang sudah pun menjejakkan kaki ke universiti. Aku makin perasan, kegemarannya bertambah. Bukan setakat memancing, dia kini suka mengunjungi tempat-tempat bersejarah, tempat-tempat yang mengandungi informasi-informasi lampau mahupun tempat-tempat yang menjadi subjek kajian hari ini, binatang juga. Entah berapa kali muzium negeri itu diziarahinya. Pusat Sains, Zoo, kesemuanya itu dilawatinya, kalau tidak bersendirian, bersama kawan-kawannya, Entah apalah yang menarik perhatiannya mengunjungi tempat-tempat sebegitu. Bagiku tiada motif, setakat untuk lawatan sambil belajar itu masih boleh diterima, tetapi, ini, lawatan secara persendirian, buat aku cukup pelik dengan abang.



Aku tidak bertanya perkara itu. Sehinggalah suatu hari..



Suatu hari, arwah abang memanjangkan bicaranya, pada waktu kami sedang bersama-sama memancing di tepi pantai. Pada waktu itu, baru aku terperasan, bibirnya seringkali terkumat-kamit, seolah-olah sedang membaca sesuatu.



"Abang baca apa?" Soalan itu kutujukan padanya.



Abang melihat muka aku. Seperti biasa, mukanya tenang.



"Subhanallah, wal Hamdulillah, Allahuakbar. Subhanallah, wal Hamdulillah, Allahuakbar." Abang mengungkapkan gerak bibirnya supaya lebih jelas kedengaran. Aku terpanar. Tak terkata. Abang lekas menambah,



"Adik, ramai orang ada hobi, tapi, ramai terperangkap dengan hobi mereka. Ramai orang terlalu obses dengan hobi sehingga hobi itu menjadi kegilaan, bukan pengibadatan. Nabi Sulaiman pernah satu ketika diriwayatkan terlalu asyik dengan kudanya, sehingga dia terleka seketika akan waktu, menyebabkan diperintahkan seluruh kudanya disembelih dah diagihkan daging itu kepada yang memerlukan. Hobi bukan sekadar mengisi masa luang, tapi, bagaimana kita memanfaatkan."



Abang menyambung lagi.



"Setiap petang abang memancing. Abang merenung awan, abang melihat lautan. Semuanya adalah ilham daripada Tuhan. Setiap kali seusai membaca buku, abang perlu masa untuk memahamkan isi buku itu, dan abang perlu berfikir, berfikir tentang hujah-hujah dan fakta-fakta dalam buku tersebut, dan abang perlukan ketenangan. Ketenangan untuk berfikir itulah abang dapat dengan memancing, sambil-sambil merenung alam. Afala tatafakkarun?"



Abang tidak berhenti di situ. Disambungnya lagi.



"Abang juga suka melawat tempat-tempat sejarah. Lihat, peninggalan orang lama. Lihat, ini kesannya, kerana suatu ketika kita juga akan menjadi sejarah. Urm, malam ni, mahu ikut abang ke satu tempat? Selesai solat Isya' di masjid?"



Aku mengangguk. Tidak membantah. Penjelasan arwah abang menarik jiwaku untuk tidak menolak ajakannya.



Dan, seusai solat Isya', abang dan aku, kami, di atas satu motosikal, menuju ke suatu kawasan. Kawasan yang sedikit suram, tanpa cahaya yang terang. Kawasan yang menjadi 'trauma' dan 'histeria' buat mereka yang buta.



Tanah Perkuburan!



Masih terngiang kata-kata arwah abang pada waktu ini,



"Adik takut?" Lembut suara abang.



"Tak.." Aku menjawab pantas. "Kenapa kita ke sini?"



"Adik, apabila kita merenung alam, kita berfikir akan kebesaran Tuhan, kita mengenal ada Tuhan, kita mengagungkan kemuliaan akal yang dikurniakan Tuhan. Kita melihat ciptaan-ciptaan manusia lampau juga buat kita banyak berfikir, kalau kita mahu berfikir. Tempat-tempat sejarah, tempat-tempat pengkajian astronomi, biologi, dan sebagainya, buat kita mahu mencapai kekuatan ilmu yang cukup hebat dan tinggi. Semua itu mengimbau sejarah lepas, dan mencipta idea-idea baharu untuk masa hadapan. Tapi, di sini, kita dapat lihat lampau dan hadapan. Mereka adalah orang-orang lama yang telah meninggalkan kita, mati sebelum kita. Mereka pernah terpahat dalam sejarah hati manusia, kalau tidak di buku-buku sejarah pun, dan kita, masa depan kita juga seperti mereka. Bersebati dengan tanah, bersoal-jawab dengan Munkar dan Nakir. Lubang Neraka atau Taman Syurga!"



Aku merenung mata abang. Matanya seolah-olah memberitahu sesuatu.



"Adik, abang dan adik juga akan ke sini. Tapi tidak tahu bila." Itulah yang kufahami dari matanya.



Dan hari ini, aku tahu tarikh kematian abang. Aku tahu bila abang meninggal. Aku tahu tarikh yang membuat aku murung selama setahun sehingga aku benar-benar dapat menerima abang telah tiada di dunia ini. Abang meninggal tanpa tanda dia akan meninggal. Semuanya sekelip mata. Abang terlibat dalam kemalangan. Bukan salah abang, tapi, salah penunggang-penunggang haram! Mereka ingin lari daripada polis, abang menjadi mangsa lintang-pukang mereka. Abang dilanggar, dirempuh dua motor. Abang tersepit di tengah-tengah! Tangan dan kakinya hancur! Tapi, wajahnya bersih, tersenyum. Tenang wajah abang. Setenang wajahnya sewaktu hidup.



Hanya tinggal tarikh aku pula.



Dan hobi abang, tidak kusimpan di stor rumah, aku pula penyambung hobinya; memancing, membaca dan menziarahi tempat sejarah. Aku tahu, semua itu bukan perkara sia-sia, bukan obses. Kata abang,



"Inilah proses."



Al-Fatihah buat arwah abang. Air mataku mengalir tak terseka pada saat joran arwah di tanganku. Dan juga buku-bukunya juga.



1 ulasan:

ana suda' berkata...

innalillah..moga arwah ditempatkn dlm kalangan org2 beriman..