Terima kasih untuk ukhuwah kalian..

Jumaat, 25 Februari 2011

Cerpen: 2018 - Krisis dan Memori

2018.

Hasif keluar daripada pejabatnya pada pukul 6.00 petang. Solat Asar masih belum ditunaikan lagi. Tidak mahu bertangguh, dia terus menuju ke surau di tingkat bawah, tingkat 2. Sebuah bilik yang sederhana, yang boleh memuatkan sekitar 50 orang dalam satu-satu masa, dijadikan surau di bangunan tersebut. Dia menekan punat lif; dia yang berada di tingkat 13, tidak mahu membazirkan tenaga dengan menggunakan tangga petang itu, tidak seperti kebiasaan.

Sesekali.. Manjakan tubuh dengan lif..Teknologi harus dimanfaatkan..

Malam nanti, dia perlu menghadiri majlis makan malam syarikatnya. Seperti kebiasaan, majlis makan malam syarikat, fungsinya bukan sekadar untuk memberi penghargaan kepada kakitangan yang menunjukkan potensi yang meningkat dan memberangsangkan, tetapi juga, dalam usaha untuk mewujudkan suasana interaksi antara pihak pengurusan dan juga kakitangan. Sikap manusia yang senang bekerja antara satu sama lain, secara psikologinya, akan meningkatkan produktiviti. Dia membelek helaian lama dalam memorinya, sewaktu dipelajarinya subjek Principle and Practice of Management sewaktu di Universiti, salah satu teori yang diguna pakai adalah teori Behavioral Approach yang bercerita tentang kelakuan manusia dalam pekerjaan yang mempengaruhi produktiviti sesuatu syarikat.

Sampai di surau, Hasif mencari-cari teman untuk solat berjemaah. Tiada. Hanya dia seorang. Terus diangkatnya takbir, dan melakukan rukun-rukun solat yang menyempurnakan solat. Bermula daripada berdiri tegak hingga memberi salam yang pertama secara tertib, menyudahkan solat Asar yang empat rakaat itu. Fekahnya, solat itu sah, selagi mana menepati piawaian hukum dan rukun. Punya wudhu untuk solat, rukun solat itu dipatuhi. Dari sudut hatinya, selalu dia bermuhasabah, apakah sesudah menyempurnakan solat ini, solat ini akan dihitung? Atau dilemparkan kembali ke mukanya, dan tidak diterima oleh Allah, kerana tiada ikhlas?

Habis sahaja solat Asar, dia bercadang untuk keluar ke taman sementara menunggu majlis makan malam yang diadakan di Hotel Grand Continental yang jaraknya sekitar 10 kilometer daripada tempat kerjanya.

Keluar ke taman.. Menyentuh tanah dan rumput..

Rindu benar dirinya untuk menyentuh tanah dan rumput. Apa tidaknya, seharian bekerja, yang dipijaknya adalah lantai konkrit. Pembangunan. Kata ramai manusia di negaranya ini,

Kita ingin mencapai Negara maju! Pembangunan fasiliti harus diperhebatkan! Bangunan-bangunan harus dibina, yang mencakar langit atau yang mengorek bumi!

Tapi, dia skeptikal. Baginya, itu pembangunan retorik. Pembangunan sebenar bukan pada ukuran bangunan yang tinggi atau dalam. Tidak, itu bukan pembangunan sebenar. Pembangunan sebenar seharusnya pembangunan jiwa. Apa guna bangunan tinggi melangit kalau jiwa manusia serendah binatang. Teori sosial Darwin menjadi pegangan; siapa bertahan, dia menang. Idea kapitalis menjadi tunjang dalam pemikiran. Jahiliyyah moden, bukan kerana tidak pandai, malahan mereka ini pandai dalam ilmu-ilmu kejuruteraan dan kedoktoran, berlaku, kerana mereka menyembah berhala. Serupa sahaja dengan masyarakat Jahiliyyah zaman Nabi. Tidak ada beza. Bezanya, berhala mereka adalah wang. Wang kertas yang dicetak sewenang-wenangnya sehingga mampu mencetuskan huru-hara dalam krisis ekonomi tahun 1998 dan 2008 itu menjadi berhala pada mereka. Tapi, ramaikah sedar perkara ini?

Hasif menuju tempat parkir kereta. Kereta yang diparkirnya di kawasan yang memang dikhaskan untuknya; Eksekutif Syarikat. Eksekutif syarikat yang paling muda, sekitar usia 28 tahun, usianya pada tahun ini. Kepercayaan dan kehormatan orang padanya sangat tinggi, kerana kebolehannya, interaksinya. Dia, walaupun pangkatnya tinggi, adab masih perlu dijaga. Dari sudut pengalaman, ramai yang lebih tua daripadanya dalam syarikat itu, tetapi, bagaimana untuk meraikan pengalaman orang yang lebih tua, supaya meningkatkan produktiviti dalam syarikat itulah yang paling penting.

Orang senior, orang lama dalam syarikat, mereka setia dengan syarikat. Hasif kagum benar akan semangat kompanisme dalam kalangan orang lama. Setia benar dengan syarikat ini. Orang muda, orang baru pula lain caranya. Syarikat tidak penting. Kesetiaan mereka, orang muda ini, lebih pada pekerjaan mereka. Kesukaan terhadap pekerjaan yang sesuai dengan jiwa mereka. Perkara inilah yang dititikberatkan oleh Hasif dalam meletakkan seseorang pada posisi yang sesuai. Kalau salah posisi, kesannya, produktiviti tidak memberangsangkan. Sifat syarikat, memaksimakan keuntungan, mengurangkan kos. Lumrah dan fitrah.

Cuma, bezanya, Hasif selalu berpesan kepada semua pekerja,

“Memang kita ingin memaksimakan keuntungan dan mengurangkan kos. Tapi, dalam masa yang sama kita harus berfikir soal kebajikan masyarakat. Inilah sistem ekonomi Islam, konsep permintaan dan penawaran yang betul. Kita tidak boleh bersifat monopoli yang kesudahannya membebankan rakyat, kita kena bantu mereka dalam perniagaan kita. Jadi, perkara pertama yang kita perlu lakukan adalah, niat kita mesti dibetulkan. Bukan ingin mencekik darah dan menindas orang lain, sebaliknya ingin membantu. Gaji yang banyak yang kita dapat, anggaplah itu usaha yang setimpal dengan usaha kita, tapi, andai rasa kita tidak banyak buat kerja, maka, kita sendiri kena bermuhasabah.”

Itulah tazkirah yang disampaikan oleh Hasif, antara perkara yang wajib diulang setiap kali pagi Jumaat. Latar belakangnya daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, memberi kepercayaan orang padanya. Pembentukan pemikiran harus dilakukan dalam kalangan orang-orang lama dan orang-orang baru, supaya mereka memahami matlamat pelaksanaan sesuatu kerja. Bukan sekadar buat dan orientasi keuntungan dengan meminggirkan soal kebajikan.

Sampai juga Hasif di taman. Tali leher yang dipakainya, digantung di bahagian cermin hadapan kereta. Kancing bahagian kolarnya dibuka, manakala lengan bajunya pula disinsing. Dia keluar daripada keretanya itu, berjalan-jalan di taman, melihat keadaan sekeliling. Tersenyum dia melihat kanak-kanak yang bermain riang, gembira benar hati mereka.

Untung anak-anak ini. Tidak banyak masalah yang harus difikirkannya.

Dilihatnya pula pada pasangan suami isteri yang sedang berjalan kaki. Dia tersenyum. Tersenyum kerana terkenangkan usikan kawannya.

“Kau ni dahlah kaya, ada rupa, tapi tak kahwin. Kau tunggu siapa Sif? Umur dah 28 dah..”

Hasif tersenyum. Tiada jawapan. Ibu bapanya acap kali juga bertanya. Ibu-ibu saudaranya juga begitu. Adik-beradiknya pun bertanyakan perkara yang sama. Tapi, Hasif tiada jawapan.

Dia masih berjalan, menuju di sebuah bangku berhampiran tasik. Dia melabuhkan punggungnya di bangku tersebut, merenung keluasan tasik tersebut. Cuba juga direnung kedalaman tasik tersebut, cuba untuk mentransperenskan dasar tasik tersebut, tetapi gagal. Yang dilihatnya, hanya ikan-ikan yang berenang di permukaan. Tidak perlu berfikir tentang krisis ekonomi dunia sekarang. Krisis ekonomi dunia 2018.

Krisis ekonomi dunia yang berlaku disebabkan penguncupan populasi. Kadar pertumbuhan penduduk sekitar tahun 90-an dan dekad pertama millennia yang menguncup dari sudut nisbahnya menyebabkan berlakunya ketidakstabilan dari sudut sumber manusia. Kadar sumber manusia yang keluar daripada pasaran kerja yakni orang lama lebih ramai berbanding orang muda. Ada beberapa usaha untuk mengekalkan orang lama dalam pasaran kerja, seperti memanjangkan tempoh perkhidmatan, namun, kesannya pula, akan menyebabkan, sumber manusia daripada golongan muda tidak dapat memasuki pasaran kerja. Ketidakstabilan ini mencetuskan huru-hara dalam ekonomi.

Apabila dominasi orang lama dalam pasaran kerja berlaku, maka orang muda tidak ada peluang untuk belajar dan tersekat. Syarat pengambilan pekerja yang berpengalaman sebagai criteria mengisi kekosongan jawatan dalam syarikat menambahkan kegusaran orang baru untuk mendapatkan kerja. Memang benar, syarat pengambilan pekerja yang berpengalaman akan mengurangkan kos dari sudut latihan, tapi, perkara ini, bukan dalam tempoh masa yang panjang. Tidak, kalau dibicarakan dari sudut ekonomi akan datang.

Apatah pula, sekiranya orang lama ini, keluar daripada pasaran kerja, sedangkan mereka sudah lagi tidak menyumbang apa-apa dari sudut produktiviti dalam masyarakat, sedangkan permintaan mereka atau selera mereka untuk memiliki sesuatu itu tinggi, maka berlakulah suatu krisis yangdisebut sebagai demand-pull inflation. Krisis inilah yang berlaku pada hari ini. Ditambah pula dengan konsumsi yang melampau sehingga menggunakan kad kredit, menambahkan hutang dalam kalangan mereka, kesannya, kitaran wang dalam negara tidak stabil.

Itulah perbincangan yang dilakukan oleh Hasif dan sahabat-sahabatnya yang lain. Budaya diskusi yang sering dilakukan di sekolah, dan masih kekal walaupun sudah bekerja.

Kring! Kring! Aiskrim! Aiskrim!

Lamunan Hasif tersentak. Loceng penjual aiskrim mengejutkannya. Hasif bingkas bangun. Terasa mahu beli satu. Lama benar tidak menjilat aiskrim kon. Kelihatan beberapa orang kanak-kanak sedang berkumpul untuk membeli aiskrim. Hasif menghampiri mereka.

“Nak aiskrim apa? Biar uncle belanja.” Hasif menggunakan perkataan uncle kerana usia kanak-kanak itu yang sebaya dengan anak-anak saudaranya.

Uncle nak belanja?” Seorang daripada mereka bersuara. Petah.

“Yup! Pilih je nak yang mana.” Hasif mengeluarkan duit daripada dompetnya.

“Arshad, Kamil, jomla mari sini, mari beli aiskrim. Uncle ni belanja!” kanak-kanak itu memanggil rakan-rakannya yang bermain agak jauh di situ. Melaung.

Hasif tersenyum menampakkan gigi. “Pakcik, saya bagi satu, yang kon punya. Yang budak-budak ni, semua saya bayar.”

“No hal abang!”

Semakin ramai kanak-kanak yang datang, mahu mendapatkan aiskrim percuma. Hasif tidak kisah. Dia suka kanak-kanak, cuma, dia belum bersedia untuk berkahwin. Itu sahaja.

“Thank you Uncle!” Seorang daripada mereka berkata.

“Thank you Uncle!” Serentak mereka semua berkata.

Hasif tertawa. Terasa seperti seorang guru tadika.

“My pleasure kids..”

Hasif menjilat aiskrim yang baru dibelinya tadi. Lama sudah tak dijamahnya. Rindu pada zaman kanak-kanak.

“Assalamualaikum..” Satu suara menyapanya dari belakang.

“Waalaikumussalam..” Hasif membalas.

“Ni Hasif kan?” Wanita tersebut bertanya.

“Ye, saya..” Hasif mengelap mulutnya.

“Kenal saya?”

“Saya tak cam sangat.. Tapi, macam familiar..”

“Saya satu persatuan dengan Hasif dulu. Di universiti.”

“Kena recall balik… Siapa ye.. Persatuan mana? Sorry, banyak sangat persatuan dulu..”

“Economic Society..”

“Oh.. Baru teringat.. Ni Nabila kan?”

“Yes! Hasif sekarang buat apa?”

“Ya Allah.. You change a lot! Hurm, sekarang ni, kerja di Syarikat Halal Corp..”

“As a? Orang hebat, kan?”

“Hahaha. Biasa-biasa je..”

“Bila balik dari oversea? Sambung Master hari tu kan? PHD tak sambung?”

“Balik baru tahun lepas, terus dapat tawaran kerja. Sekali dengan PHD la. Sekejap je masa berlalu.. So, Nabila sekarang, buat apa?”

“As a housewife. Suami tak bagi kerja..”

“It’s good you know.. Housewife ni memang kerja yang mulia dan paling susah atas muka bumi.. You need to deal with the children..”

“Haha. Cara you cakap macam you dah kahwin.. By the way, you dah kahwin ke Sif?”

“Belum lagi.. Calon tak ada lagi..”

“Tak ada calon ke, you yang memilih?”

“Both kot.. Perfectionist kan..Hahaha..” Gelaran perfectionist itu pernah diberikan padanya dahulu. Dahulu. Sekarang, dia mula faham situasi semasa. Memang perlu mengejar kepada kesempurnaan, tetapi, manusia sendiri terdedah dengan ketidaksempurnaan.

“Takpe, you nak I carikan ke? I ramai kenalan..”

“Haha.. Malas nak fikir la bab ni..”

“Hasif, Hasif.. Bukan you ke dulu yang cakap pasal penguncupan populasi? Cakap pasal kahwin lambat menyebabkan kadar kelahiran dalam Negara semakin menurun.. Walk the talk la Sif..” Ada unsur-unsur sindiran di situ.

“I’m not ready yet..”

“Jangan jadi bujang terlajak sudah..”

“Hahaha.. Takpe, takpe.. So far, you punya suami kerja apa?”

“Biasa-biasa je.. Di Petronas..”

“Mana you punya suami? Boleh jugak nak kenal dengan dia.”

“Dia busy.. Kerja.. Biasala..”

“Kena faham-fahamla dengan orang kerja ni..”

“Sif, Kamilah macam mana?”

Hasif tersentak. Kamilah.. Nama yang cuba dilupanya beberapa lama.

“You ada dengar cerita tentang dia ke?”

“Of course.. Dia dah anak dua dah.. You je yang belum lagi..”

“Rezeki dia..”

“Yang dah lepas tu, lepas la Sif.. You pun dah ada career, rupa pun ada.. Ramai je calon dekat luar tu..”

“Nak kena buat pertandingan la kalau macam tu.. Pertandingan Gadis Melayu..”

“Hasif, Hasif.. You tinggal kat mana?”

“I tinggal kat Taman Setanggi.. Just 20 minutes from here..”

“Oh.. kalau ada kelapangan datanglah rumah.. Boleh you kenal suami I. Dia pun orang macam you.. You kan suka exchange knowledge..”

“Ha! It’s good! Insya Allah!”

Datang seorang kanak-kanak perempuan mendekati mereka.

“Mama, mama.. I’m tired now..” kanak-kanak perempuan itu bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Owh, really.. Kesian anak mama.. Kakak, ni Uncle Hasif.. Salam dengan Uncle..”

“Hi Uncle!” Kanak-kanak itu menghulurkan tangannya, bersalam dengan Hasif.

“How old are you now?” Hasif bertanya.

“I’m 5 years old.” Petah.

“Where’s your Papa?”

“Papa’s working. Papa’s in the office.”

“Anak you memang you latih speaking ek?” Hasif bertanya Nabila.

“Papa dia la yang latih. I ikut je. Masalah nanti, takut, BM pulak dia tak kuasai.”

“So, you kena balance la. Arab sekali, jangan lupa..”

“Insya Allah.. K la Hasif, I think I kena balik dulu.. Prepare dinner malam ni for my husband.”

“ Good wife.. Kirim salam pada your husband..”

“Insya Allah.. Kakak, salam Uncle..”

Tangan anak kecil itu dihulurkan kepada Hasif. Hasif menyambutnya dengan satu senyuman.

She’s cute. Teringin memilikinya, tapi, dia masih tak bersedia.

“Bye Uncle..” Tangan anak kecil itu melambai padanya.

Hasif melambai kembali. “Bye.. See you next time..”

“Ok Uncle!”

Nabila dan anaknya itu sudah berada dalam kereta, dan mereka beredar. Hasif masih menunggu di situ. Menunggu sesuatu yang dia sendiri tidak pasti.

Biarlah..Biar ia datang sendiri, kerana aku taknak terluka lagi.. Cinta sebelum kahwin, percintaan yang tidak pasti ini menyakitkan.. Kekecewaannya melarat hingga sekarang.. Sehingga takut untuk berhadapan dengan realiti cinta yang halal..Biarlah aku seperti Zainuddin, seperti nukilan Hamka dalam novelnya Tenggelamnya Kapal Van Der Vijck.. Biarlah.. Kerana aku sudah tidak mampu untuk mencintai sesiapa..

Terus ia beredar, apabila senja mula menampakkan kelibatnya.

1 ulasan:

blogger berkata...

Assalamu'alaikum..
best la cerpen2 kat sini..
cubalah kumpul,then try terbitkan..
pilih syarikat yg ok2..