Inkuiri ingin menulis itu pukal, banyak, padat. Tapi, jari-jemari ini tidak betah untuk menaip, mencatat curahan ilusi dan khayalan tentang dunia; dunia aku, dunia kamu, dunia mereka. Semacam, ada satu tembok transparens; dinding yang memisah antara curahan idea dan penterjemahannya.
Entah.. Tiada jawapan dapat kucari pada kecelaruan mencari kekuatan menulis. Semuanya kerana satu peristiwa.
Hukuman lampau yang diungkit semula.
Kesilapan lampau yang dibangkitkan semula.
Serta serangan membabi buta, tanpa tahu punca.
Ah, jiwaku celaru! Kesalahan itu; kesalahan yang cuba kulenyapkan dari memori ini, kembali berdengung di telinga kiri dan kanan; suara ilusi, suara manusia. Suara yang cuba dibangkitkan kembali.
"Pembohong!"
"Penipu!"
"Fasiq!"
"Permainkan agama Tuhan!"
"Kamu itu! Kamu ini! Kamu! Kamu! Kamu! Semuanya kamu!"
Tuduh-menuduh, tanpa satu ruang untukku memahami hakikat sebenar tuduhan itu; menyebabkan emosiku kadang-kadang cuba mendominasi; menguasai rasional, biar marah menjalar di setiap urat dan sendi.
Dituduh tanpa dapat kubela. Dituduh tanpa dapat tahu sebabnya. Kesalahan lampau yang cuba kulupakan; cuba kujauhkan, diangkat kembali isunya, tapi konteksnya berbeza:- konteks dahulu aku benar-benar bersalah, konteks sekarang aku dipersalah supaya dilihatku bersalah.
Lantas, rasa bersalah itu memalit hatiku dengan kesan lumpur hitam. Hingga jari-jariku kaku menulis, ibrah dan nasihat.
"Kau bermaksiat!"
"Kau!! Kena bertaubat!"
Pekikan dan jeritan itu; walau tidak kedengaran suaranya, cukup-cukup untuk melabel tanpa faham. Faham. Faham sebelum berkata-kata. Hingga hadir serba salah.
Sehingga setelah butir-butir air mata itu menitis di atas tikar tempatku sujud, tiada kekuatan yang dapat kupohonkan selain dari Tuhan.
"Ya Allah, jangan Kau timpakan kepadaku dengan fitnah yang tidak mampu aku tanggung..." Tadarru', penuh pengharapan, aku berharap pada Tuhan. Tangan dan kakiku menggigil; dek bisanya suntikan-suntikan antara rasa marah dan iman yang membisikkan sabar. Baran dan rasional.
"Ini tarbiyah buatku.." Bisik imanku.
"Ini menguji sabarku!" Bisik nafsuku, di sebelahnya, syaitan sedang bergendang, memarakkan pertarungan.
Pilihan: sabar atau marah?
Pilihan: nafsu atau hati?
Dan aku cuba mencari kedamaian pada ayat-ayat-Nya. Sehingga, tanganku kaku dahulu, sudah dilentur, untuk menaip sesuatu.
Ketahuilah Daie, kau tidakkan terlepas dari melakukan kesilapan, jangan juga cepat menghukum seseorang. Setelah kau dihukum tanpa kau sendiri memahami kenapa kau dihukum, bagaimana rasanya? Bahagiakah? Sengsarakah?
0 ulasan:
Catat Ulasan