Alam, aku dapat rasakan,
Unsurmu di mana-mana,
Berkisar sekitar manusia,
Hadapan mata, sapaan telinga,
Disentuh, tersentuh pancaindera.
Alam, dapatkah kau rasakan hadirku,
Hadirku bukan suka-suka,
Bergembira tidak tahu pangkal cerita,
Berduka diselubung murungnya jiwa,
Aku di sini kerana Dia.
Alam, aku perhatikan emosimu,
Juga bergolak seperti hatiku,
Kencang taufan melintang-pukangkan,
Letusan berapi menghancurleburkan,
Gulung-gulung ombak meranappunahkan,
Dan gempa sana sini bergegarruntuhkan.
Alam, cerita kita, hampir sama, tapi berbeza,
Aku dan engkau; kedua-dua kita makhluk Pencipta,
Usiamu berjuta-juta,
Aku pula; belum tentu esok lusa,
Pada waktu amanah itu ingin diijazahkan,
Kau menolaknya kerana beban,
Sedang aku; manusia, lapang membuka tangan.
Alam, saat kau telah lama melihat bangkit tumbangnya manusia,
Tidakkah kau harus bercerita juga,
Di manakah cinta itu harus dipulangkan?
Padamu? Atau pada-Nya?
Harus tadabbur pada dua ayat,
Ayat Tuhan pada Alam,
Ayat Tuhan pada Kalam.
0 ulasan:
Catat Ulasan